artikel PENTING!

>> Friday, February 12, 2010

TRAUMA, tertekan, malu, resah dan berasa tidak selamat. Inilah antara tekanan emosi yang membelenggu seseorang, terutama wanita selepas mengalami gangguan seksual. Mangsa biasanya berat hati untuk pergi ke pejabat dan ada juga yang berhenti kerja semata-mata tidak mahu berhadapan atau terserempak dengan si pelaku.

Penderitaan dan tekanan yang dialami mangsa bukan perkara kecil dan sentiasa menjadi igauan walaupun berpindah ke tempat kerja baru kerana bimbang pengalaman buruk itu berulang. Gangguan seksual adalah satu masalah yang bukan saja boleh mempengaruhi kestabilan emosi mangsa, malah menjejaskan prestasi kerja dan produktiviti syarikat.

Kajian di Amerika Syarikat ke atas sektor kerajaan mendapati gangguan seksual menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos RM660 juta yang membabitkan kos kekerapan cuti, kehilangan pekerja mahir dan melatih pekerja baru. Ini tidak termasuk kos untuk menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat dan jika gagal mematuhinya, majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana dianggap tidak mengambil berat kebajikan pekerja.

Gangguan seksual ialah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal; atas sebab yang munasabah dan boleh dianggap oleh penerima (mangsa) berbentuk seksual atau pencabulan maruah, penghinaan mahupun ancaman kepadanya.

Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada lima kategori iaitu:

1. Gangguan secara lisan - dengan kata-kata, gurauan, usikan, komen atau soalan yang berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

2. Gangguan secara isyarat (bukan lisan) - pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks serta tingkah laku mengurat yang berterusan.
Gangguan visual - menunjukkan bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan sulit yang sepatutnya tidak didedah.

3. Gangguan psikologi - mengulangi jemputan sosial yang sudah ditolak (oleh mangsa), memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbu-cumbuan.

4. Gangguan fizikal - sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium atau serangan seksual.

Gangguan seksual di tempat kerja juga termasuk gangguan di luar tempat kerja selagi berkaitan dengan pekerjaan. Ia boleh berlaku di majlis sosial yang mempunyai kaitan dengan pekerjaan, ketika bertugas di luar tempat kerja, ketika persidangan atau latihan tugas, dalam perjalanan untuk bertugas, melalui telefon atau media elektronik.

Walaupun kes gangguan seksual kerap berlaku tetapi tidak ramai mangsa melaporkannya. Statistik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (dari Januari hingga Julai 2009), hanya 17 kes dilaporkan dan Kuala Lumpur hanya mencatatkan tiga kes. Tiada laporan bukan bermakna gangguan seksual di tempat kerja tidak berlaku. Jumlah sebenar kes gangguan seksual dijangka lebih tinggi kerana ada syarikat yang mengambil langkah menyelesaikannya sendiri dan tidak melaporkan ke Jabatan Tenaga Kerja untuk menjaga nama baik. Namun, biasanya mangsa lebih rela menderita dalam diam yang disebabkan pelbagai faktor seperti:

-Malu
-Bimbang perkara memalukan itu diketahui ramai.
-Bimbang ia dihebahkan dan menjadi bahan ketawa, bualan, ejekan, sindiran atau cemuhan.
-Bimbang ia menjejaskan kerjaya (ditukar ke unit lain atau diturunkan pangkat).
-Tidak tahu ke mana atau pada siapa hendak membuat aduan
-Tiada kod amalan di tempat kerja
-Tidak yakin perkara itu dapat diselesaikan
-Bimbang si pelaku mengambil tindakan balas
-Bukti termusnah secara tidak sengaja
-Tiada saksi atau saksi tidak mahu tampil

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Selangor, Roslee Sabaruddin, gangguan seksual di tempat kerja tidak boleh dianggap isu ringan kerana boleh mengaibkan mangsa, menyebabkan mereka mengalami tekanan dan berasa tidak selamat atau terancam. Malah, gangguan seksual juga boleh dilakukan dalam bentuk ugutan (ke atas pekerjaan mangsa) dan ancaman atau penghinaan peribadi yang tidak membabitkan pekerjaan mangsa.

Di seluruh dunia, kebanyakan mangsa gangguan seksual adalah wanita. Ada juga lelaki, ‘lelaki lembut’, homoseksual dan lesbian yang turut mengalami gangguan ini tetapi tidak dilaporkan kerana malu.

“Tidak kira dalam keadaan manapun, mangsa tidak seharusnya mendiamkan diri. Memang tidak dapat dinafikan akan rasa malu tetapi jangan biarkan perkara ini berlarutan kerana ia akan menjejaskan hidup anda. Gangguan seksual ini akan membuat mangsa tertekan dan murung. Ramai berhenti kerja kerana tidak tahan mengharungi tekanan setiap kali berada di tempat kerja dan menambah beban ekonomi keluarga. Lebih malang jika mangsa adalah ibu tunggal.

“Mungkin bagi lelaki, ungkapan seperti ‘wah seksinya hari ini’ atau ‘awak ni cantiklah, selalu pakai seksi’ hanyalah gurauan tetapi anda perlu sedar ia mempunyai unsur seksual dan perlu dihentikan jika wanita berkenaan menunjukkan rasa tidak senang atau menegaskan mereka tidak suka dengan kenyataan itu.

“Bagi wanita pula, anda perlu menyatakan dengan tegas ia adalah satu gangguan kepada anda dan ayat seperti itu boleh diadukan sebagai gangguan seksual. Jika ia diulangi, nyatakan pendirian anda sekali lagi dengan jelas. Ini adalah cara untuk menghentikan gangguan seksual. Jika anda melayan usikan seperti itu, bermakna ia bukanlah gangguan seksual,” katanya ketika seminar kesedaran gangguan seksual di tempat kerja.

Memang tidak mudah untuk menangani kes gangguan seksual di tempat kerja, terutama jika si pelaku itu berjawatan tinggi dalam sesebuah syarikat.

Ia lebih kompleks jika turut membabitkan gangguan seksual berbentuk fizikal tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh dibawa ke muka pengadilan kerana jika terbukti benar, si pelaku akan dikenakan tindakan, termasuk membayar pampasan atau kehilangan pekerjaan. Cara paling baik ialah menyelesaikan kes ini secara tertutup dalam organisasi itu sendiri. Justeru, majikan disaran supaya ada kod amalan untuk mencegah gangguan seksual di tempat kerja. “Pada masa sama, ada juga mangsa yang menarik balik laporan atau tidak memberikan kerjasama apabila kes mahu disiasat. Dalam keadaan ini, Jabatan Tenaga Kerja tidak dapat mengambil tindakan ke atas pelaku. Mangsa perlu ada bukti untuk pelaku disabitkan kesalahan,” katanya.

Semua wanita perlu peka terhadap hak mereka dan antara panduan untuk mengelakkan gangguan seksual ialah:

Tindakan mangsa

Katakan 'Tidak' secara terang-terangan, tegas dan kekal dengan prinsip ini pada sebarang unsur gangguan seksual, termasuk gurauan. Beritahu si pelaku bahawa kelakuannya atau tindakannya itu tidak disenangi atau keterlaluan. Jika keadaan itu berterusan, tulis memo kepadanya supaya berhenti dan simpan satu salinan untuk rujukan masa depan.

Tulis apa yang berlaku ketika kejadian, tarikh, masa dan di mana berlaku. Tuliskan secara terperinci dan apa tindakan anda ketika itu. Rekodkan setiap kejadian secara terperinci dan simpan satu salinan di rumah. Maklumat ini sangat penting dan berguna jika anda mahu membuat laporan.

Dapatkan sokongan daripada kawan sekerja dan ahli keluarga.

Dokumentasikan kerja anda. Simpan salinan penilaian prestasi kerja dan memo memperakui kualiti kerja anda. Jika si pelaku adalah orang atasan anda, dia mungkin akan mempersoalkan prestasi kerja anda untuk melindungi atau 'membenarkan' tindakannya.

Jangan simpan masalah ini sendirian. Cari mangsa dan saksi. Mendiamkan diri seolah-olah membenarkan si pelaku meneruskan tindakannya dan anda akan berasa terasing dan tidak berdaya. Anda mungkin bukan orang pertama menjadi mangsa individu berkenaan. Mungkin ada orang lain pernah mengalami gangguan sama dan jika ia tidak dihentikan, pasti akan ada mangsa baru. Cubalah risik-risik dan dalam diam ramai akan menyokong tindakan anda untuk melaporkan kejadian berkenaan. Jika ada dua laporan, bermakna kes anda kukuh.

Carilah saluran di dalam pejabat untuk melaporkannya. Jika anda ahli kesatuan pekerja, laporkan kepada kesatuan.

Buat laporan pada polis. Anda mungkin memerlukan bantuan undang-undang.

Jangan berlengah membuat laporan. Melengahkannya akan membuatkan si pelaku berfikir anda ‘mengalu-alukan’ gangguan seksual itu untuk diteruskan. Lebih lambat laporan dibuat, lebih sukar lagi diambil tindakan. Jika tidak tahu ke mana hendak mengadu, mangsa boleh membuat laporan ke Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan atau balai polis berdekatan.

1 komenz:

Anonymous February 12, 2010 at 12:29 PM  

sentiasa beringat dan bertawakkal. yup.